Sunday, December 20, 2009

Melaka Bandaraya Bersejarah

Bagi pengajaran makro bahasa melayu pada 8.12.2009,
saya menggunakan tema pelancongan di Malaysia.
Terdapat pelbagai tempat yang menarik di Malaysia.
Tapi, saya memilih Negeri Melaka sebagai tempat
pelancongan yang ingin diperkenalkan dengan mengambil
kira negeri ini sebagai tempat himpunan
warisan negara dan kawasan rekreasi.

Bahan bantu mengajar (BBM) yang saya gunakan
semasa pengajaran makro ini termasuklah carta
gambar yang terdiri daripada gambar -
gambar tempat di Melaka seperti ditunjukkan dibawah.

Puzzle yang telah dilengkapkan oleh pelajar

Carta gambar dan petikan cerita

Mengenai Melaka....
Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budayanya yang tersendiri. Ia bersempadankan Negeri Sembilan dan Negeri Johor, menawarkan pelbagai keistimewaan sama ada dari segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur dan sebagainya. Di sini jugalah bermulanya sejarah kesultanan Melayu.

Melaka diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396 yang menamainya bersempena pokok Melaka. Sejak itu, Melaka mula menjadi tumpuan negara-negara timur dan barat dari segi perdagangan. Melaka kini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot di Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan yang menceritakan tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan. Sebagai destinasi yang menawarkan bukan sahaja pelancongan, tetapi khidmat kesihatan dan pendidikan yang tinggi, bandar raya bersejarah Melaka sememangnya tiada tandingannya.



Menara Taming Sari

Panorama indah dan pemandangan keseluruhan tempat bersejarah di Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada ketinggian 80 meter dapat dilihat dari Menara Taming Sari. Sesiapa yang berada di dalamnya sambil melihat dari atas pastinya teruja kerana dapat menyaksikan keindahan dan keunikan tempat bersejarah seperti Bukit St. Paul, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Pulau Besar dan Selat Melaka.


Kota A' Famosa

Kota A'Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Pintu gerbang ini merupakan peninggalan portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu.

Kubu ini dahulu mempunyai tembok yang panjang dan empat menara utama. Salah satu daripadanya ialah menara utama empat tingkat, manakala yang lain merupakan bilik simpanan senjata, kediaman kapten dan juga kuarters pegawai.
Kubu ini bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubah suai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670 yang mana “ANNO 1670” boleh dilihat pada pintu gerbang itu.
Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.


Muzium Maritim

Kompleks Muzium Maritim ini merangkumi Muzium Samudera Fasa I, Muzium Samudera II, Muzium Tentera Laut Di-Raja Malaysia dan Bekas Kapal KD Sri Trengganu

Muzium Samudera Fasa I

Muzium Samudera Fasa I adalah sebuah replika kapal Flor de Lamar yang dibina pada awal tahun 1990 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 13 Jun 1994. Muzium Samudera ini terletak di Jalan Quayside berhampiran dengan muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.

Muzium ini mempamerkan sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Melaka yang membuktikan bahawa hilangnya kuasa politik maka hilanglah segalanya.



Bangunan Merah (Stadthyus)


Bangunan Stadthuys yang dibina pada 1650 merupakan peninggalan orang Belanda yang menggunakannya sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya. Warna asal bangunan ini ialah putih tetapi ia kemudiannya di cat merah agar dapat dipadankan dengan Gereja Christ yang berdekatan.

Bangunan ini yang terletak di Bandar Hilir kini dijadikan kompleks muzium yang mempunyai lima buah muzium berasingan di dalamnya. Muzium-muzium tersebut adalah:

  • Muzium Sejarah dan Ethnografi
  • Galeri Laksamana Cheng Ho
  • Muzium Sastera
  • Muzium Pemerintahan Demokrasi
  • Muzium Yang Di-Pertua Negeri

(sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka, www.melaka.gov.my)

No comments:

Post a Comment