Sunday, December 20, 2009

Pengajaran Makro Bahasa Melayu - TEMA: PELANCONGAN DI MALAYSIA

Pengajaran Makro Bahasa Melayu

Melaka Bandaraya Bersejarah

Bagi pengajaran makro bahasa melayu pada 8.12.2009,
saya menggunakan tema pelancongan di Malaysia.
Terdapat pelbagai tempat yang menarik di Malaysia.
Tapi, saya memilih Negeri Melaka sebagai tempat
pelancongan yang ingin diperkenalkan dengan mengambil
kira negeri ini sebagai tempat himpunan
warisan negara dan kawasan rekreasi.

Bahan bantu mengajar (BBM) yang saya gunakan
semasa pengajaran makro ini termasuklah carta
gambar yang terdiri daripada gambar -
gambar tempat di Melaka seperti ditunjukkan dibawah.

Puzzle yang telah dilengkapkan oleh pelajar

Carta gambar dan petikan cerita

Mengenai Melaka....
Melaka merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah dan budayanya yang tersendiri. Ia bersempadankan Negeri Sembilan dan Negeri Johor, menawarkan pelbagai keistimewaan sama ada dari segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur dan sebagainya. Di sini jugalah bermulanya sejarah kesultanan Melayu.

Melaka diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396 yang menamainya bersempena pokok Melaka. Sejak itu, Melaka mula menjadi tumpuan negara-negara timur dan barat dari segi perdagangan. Melaka kini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Di antaranya ialah menaiki beca di tengah-tengah kota, menaiki bot di Sungai Melaka ataupun bersiar-siar di kawasan yang menceritakan tentang peperangan dan penyeksaan, percintaan dan penyesalan. Sebagai destinasi yang menawarkan bukan sahaja pelancongan, tetapi khidmat kesihatan dan pendidikan yang tinggi, bandar raya bersejarah Melaka sememangnya tiada tandingannya.



Menara Taming Sari

Panorama indah dan pemandangan keseluruhan tempat bersejarah di Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO pada ketinggian 80 meter dapat dilihat dari Menara Taming Sari. Sesiapa yang berada di dalamnya sambil melihat dari atas pastinya teruja kerana dapat menyaksikan keindahan dan keunikan tempat bersejarah seperti Bukit St. Paul, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Pulau Besar dan Selat Melaka.


Kota A' Famosa

Kota A'Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Pintu gerbang ini merupakan peninggalan portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu.

Kubu ini dahulu mempunyai tembok yang panjang dan empat menara utama. Salah satu daripadanya ialah menara utama empat tingkat, manakala yang lain merupakan bilik simpanan senjata, kediaman kapten dan juga kuarters pegawai.
Kubu ini bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubah suai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670 yang mana “ANNO 1670” boleh dilihat pada pintu gerbang itu.
Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.


Muzium Maritim

Kompleks Muzium Maritim ini merangkumi Muzium Samudera Fasa I, Muzium Samudera II, Muzium Tentera Laut Di-Raja Malaysia dan Bekas Kapal KD Sri Trengganu

Muzium Samudera Fasa I

Muzium Samudera Fasa I adalah sebuah replika kapal Flor de Lamar yang dibina pada awal tahun 1990 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 13 Jun 1994. Muzium Samudera ini terletak di Jalan Quayside berhampiran dengan muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.

Muzium ini mempamerkan sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Melaka yang membuktikan bahawa hilangnya kuasa politik maka hilanglah segalanya.



Bangunan Merah (Stadthyus)


Bangunan Stadthuys yang dibina pada 1650 merupakan peninggalan orang Belanda yang menggunakannya sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya. Warna asal bangunan ini ialah putih tetapi ia kemudiannya di cat merah agar dapat dipadankan dengan Gereja Christ yang berdekatan.

Bangunan ini yang terletak di Bandar Hilir kini dijadikan kompleks muzium yang mempunyai lima buah muzium berasingan di dalamnya. Muzium-muzium tersebut adalah:

  • Muzium Sejarah dan Ethnografi
  • Galeri Laksamana Cheng Ho
  • Muzium Sastera
  • Muzium Pemerintahan Demokrasi
  • Muzium Yang Di-Pertua Negeri

(sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka, www.melaka.gov.my)

Motivasi sebagai Peneguhan Positif

Carta Token

Bagi menggalakkan penglibatan pelajar yang aktif, guru boleh memperkenalkan sistem token sebagai ganjaran kepada pelajar. Teknik ini telah saya gunakan semasa pengajaran makro 8.12.2009. Ganjaran juga adalah pendekatan memotivasikan pelajar supaya menggemari pembelajaran.

PANDUAN GURU : 12 PENDEKATAN MEMOTIVASIKAN PELAJAR

1. Penerangan Yang Jelas

Kajian menunjukkan kebanyakan pelajar tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan. Guru sepatutnya memberikan sedikit masa untuk menjelaskan perkara berikut :

a. Kenapa tugasan yang diberikan itu penting?

b. Apa kaitan sesuatu subjek dengan kehidupan?

c. Memastikan pengetahuan asas mereka mantap.

d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai.

2. Ganjaran

Pelajar yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat apa kebaikan dan kelebihan pelajar dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini di lain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, pelepasan dari tugas harian dan sebagainya.

3. Tetapkan Matlamat

Setiap pelajar mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk setiap mata pelajaran yang diambil. Ikuti perkembangan pelajar dan pastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing.

4. Ambil Berat

Pelajar akan memberikan tindakbalas yang positif terhadap guru yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan, dan lain-lain sebagai suatu teladan untuk pelajar. Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggungjawab. Sekiranya mereka melakukan kesilapan, pastikan mereka faham semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia yang berjaya ialah yang belajar dari kesilapan. Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana progress mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya.

Pelajar tidak prihatin sejauh mana anda tahu sehinggalah mereka tahu sejauh mana anda prihatin terhadap mereka”.

Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar pelajar secara personal untuk membuktikan yang mereka benar-benar ambil berat tentang mereka. Malah usahakanlah dari semasa ke semasa mengatur sesi perbincangan personal ini dengan semua pelajar.

5. Penglibatan Pelajar

Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran. Berdiri di depan kelas dan memberi syarahan untuk memotivasikan mereka lambat laun tidak akan meninggalkan sebarang kesan. Rangsang pelajar untuk terlibat dalam aktiviti seperti perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah, aktiviti luar, interaksi antara pelajar dan saling membantu. Pelajar akan lebih bermotivasi apabila mereka berasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja guru seperti mencari biografi orang tertentu, menyusun atur bilik darjah, mengangkat buku dan sebagainya.

6. Penuhi Keperluan Pelajar

Guru mestilah sedar bahawa setiap pelajar memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya memberikan peluang pelajar memilih satu dari dua tiga tajuk untuk disiapkan, atau satu daripada beberapa aktiviti untuk mereka terlibat, memberikan mereka kuasa memilih. Adakan juga aktiviti pembelajaran yang mereka rasa seronok kerana bebas menyumbang sebarang idea.

7. Lebihkan Pembelajaran Visual

Berikan penerangan dalam bentuk visual agar pelajar mampu memahami dan mengingati dengan lebih berkesan. Gunakan bahasa visual, gambar, lakarann, graf, carta, imej 3D dan sebagainya. Berikan gambaran jelas dengan peta konsep agar pelajar tahu apa kandungan penting sesuatu bab dan dapat melihat kaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam bab tersebut. Ini membolehkan pelajar membentuk rangka asas terhadap satu-satu topic baru dan seterusnya menimbulkan minat dan meningkatkan pemahaman mereka.

8. Gunakan pelbagai emosi untuk merangsang pembelajaran dan motivasi

Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Pelajar akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Pelajar akan lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsure-unsur kepelbagaian emosi kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan anda demi menarik minat pelajar terhadap apa yang mahu anda sampaikan. Sebagai guru, hakikat siapa anda tidak penting. Yang penting ialah siapa mereka 10-15 tahun yang akan datang.

9. Ajarkan Mereka Strategi dan Teknik

Ajarkan mereka teknik pembelajaran berkesan, pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota dan sebagainya. Tanam dalam fikiran pelajar bahawa “Belajar Itu Mudah”. Pecahkan sebarang halangan mental terhadap mata pelajaran akibat terpengaruh oleh pendapat orang lain. Misalnya ramai pelajar percaya bahawa “Matematik itu susah”.

10. Terima Pelajar Seadanya

Ramai guru yang berkata bahawa mereka lebih suka sekiranya pelajar mereka semuanya rajin, pandai, gigih, tekun dan berdisiplin. Mereka tidak sanggup terima kenyataan bahawa tidak semua pelajar begitu. Mereka memandang pelajar yang bermasalah ini dengan sebelah mata. Pelajar ini tidak dipedulikan sebab mereka rasa pelajar ini sukar dibentuk. Di snilah berbezanya antara guru biasa dengan guru cemerlang. Guru cemerlang akan terima pelajar seadanya dan menjangkakan kejayaan untuk setiap pelajar ini. Hanya dengan memberikan yang terbaik sahaja maka seorang guru akan berasa puas dengan kariernya. Ramai pelajar gagal kerana guru telah meramalkan kegagalan mereka.

Guru mesti sentiasa faham, mengajar bukan sekadar memberikan maklumat dan penerangan semata-mata. Mereka juga perlu mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran dan tingkahlaku.

Guru juga perlu berhati-hati dengan ucapan dan pandangan yang dilontarkan kepada pelajar kerana kesannya sangat besar dalam hidup pelajar.

Anda hanya ada dua cara untuk membuatkan anda sentiasa diingati oleh pelajar – sebagai seorang guru yang disayangi ; atau sebagai seorang guru yang dibenci. Mana-mana guru yang berada di antara dua kategori ini akan dilupakan. Apa pilihan anda?

11. Berikan Kata Perangsang

Cipta beberapa kata jaya yang menjadi perangsang kepada pelajar anda. Ulangi kata-kata ini. Lekatkan kata-kata ini dalam kelas supaya ia lazim dalam pemikiran pelajar.

Contohnya :

“Doing the best at this moment puts you in the best place for the next moment”

“Nobody plan to fail but many fail to plan. So, lets plan our work and work our plan”

“Problems and difficulties give us the chance to become stronger… and better… and tougher.”

12. Amalkan Prinsip 3F

Iaitu ‘Firm’, ‘Fair’ dan ‘Friendly’ atau Tegas, Saksama dan Mesra


(sumber:www.pibgsekolah.com)

Saturday, November 28, 2009

Simpulan Bahasa - Anak

Check out this SlideShare Presentation:

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:

  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara

Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.

Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.

Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:

  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:

  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:

  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.

Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)

  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.

b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)

  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat

c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)

  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:

  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Ciri-ciri bahasa klasik:

  • ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.

Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

(dipetik dari Portal Pendidikan Utusan)

Friday, November 27, 2009

Asal Usul Bahasa

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

(dipetik dari Portal Pendidikan Utusan)